KUALA LUMPUR: Menara Merdeka 118 menjadi mercu tanda kebanggaan terbaharu rakyat Malaysia selepas ia dilancarkan secara rasminya oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu.

Signifikannya pencakar langit yang direka bentuk oleh Fender Katsalidis dari Melbourne, ini mempunyai makna sentimental berkenaan liku-liku yang ditempuh oleh pejuang-pejuang negara untuk mencapai kemerdekaan.

Pencakar langit ini juga menjadi cerminan kepada pembangunan Malaysia merentasi susur galur sejarah, dan cabaran yang ditempuhi.

Berikut senarai 10 fakta menarik Menara Merdeka 118:

Fakta #1

Pencakar langit itu dinamakan sebagai Merdeka 118 sempena memperingati Kemerdekaan Malaysia.

Fakta #2

Reka bentuk pencakar langit itu diambil dari imej ikonik pengisytiharan kemerdekaan oleh Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika melaungkan 'Merdeka'sebanyak tujuh kali.

Fakta #3

Dibina di tapak bekas Taman Merdeka, bersebelahan dua bangunan warisan negara, Stadium Negara dan Stadium Merdeka

Fakta #4

Menara canggih yang memiliki 118 tingkat dengan ketinggian 678.9 meter itu adalah yang kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa Dubai (828 meter) dan menjadi menara tertinggi di Malaysia.

Fakta #5

Menjadi bangunan pertama di Asia Tenggara yang mempunyai lebih daripada 100 tingkat, sekali gus menjadi menara tertinggi di Asia menewaskan Shanghai Tower.

Fakta #6

Mempunyai dek permahatian yang menjadi platform tertinggi di Asia Tenggara, dikenali sebagai ‘The View at 118’.

Fakta #7

Dihubungkan secara terus dari menara adalah ‘118 Mall’, sebuah pusat beli-belah dengan pelbagai peluang perniagaan menarik yang dikelilingi kehijauan serta taman terbuka 'Merdeka Boulevard at 118' seluas 1.62 hektar.

Fakta #8

Hotel Park Hyatt akan merangkumi ruang lantai seluas tiga juta kaki di 17 tingkat teratas Merdeka 118.

Fakta #9

Mempunyai akses pengangkutan awam yang terancang, ia disokong oleh dua landasan kereta api berdekatan iaitu laluan Sungai Buloh-Kajang (MRT1) dan laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT2).

Fakta #10

Menjadi bangunan pertama di Malaysia yang berjaya memenuhi tiga akreditasi bangunan platinum hijau di peringkat tempatan dan antarabangsa, iaitu Indeks Bangunan Hijau (GBI), Hartanah Hijau (GreenRE) dan Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED).